CHATCHAI Parnuthai memakai gaun demi menggembirakan dua anaknya sempena sambutan tradisional Hari Ibu. Foto Google Images
CHATCHAI Parnuthai memakai gaun demi menggembirakan dua anaknya sempena sambutan tradisional Hari Ibu. Foto Google Images
Agensi

DEMI anak lelakinya seorang bapa memberanikan diri memakai pakaian wanita untuk menyambut Hari Ibu di sekolah mereka, baru-baru ini, lapor media tempatan.

Chatchai Parnuthai, 32, datang ke sekolah dua anaknya, Ozone, lima, dan Imsome, tiga, di Kanchanaburi, untuk menyertai sambutan tradisional Hari Ibu pada Jumaat lalu kerana tidak mahu mereka rasa ketinggalan selepas isterinya meninggalkan keluarga berkenaan tiga tahun lalu untuk berpindah ke Eropah.

Daily Mail melaporkan, ketika dia tiba di sekolah mereka, Ozone dan Imsome sedang duduk berasingan memerhatikan rakan mereka bermain dengan ibu masing-masing.

Kehadiran Chatchai mengejutkan mereka apabila dia sanggup meminjam

baju ibunya yang berwarna merah jambu dan berenda selain menyematkan bunga di rambutnya sempena acara itu.

Rakaman tersebar dalam talian menunjukkan dua anaknya memberi penghormatan kepada Chatchai sebagai ‘ibu’ mereka dengan dikelilingi wanita lain yang menghadiri acara berkenaan, lapor Huffington Post.

“Saya bapa tunggal dan cuma mahu dua anak saya gembira. Memang malu sebenarnya, tetapi saya mahu memastikan mereka dapat turut serta dalam aktiviti disediakan bersama rakan sekelas,” katanya.

Kornpat Sukhom, 36, yang memuat naik video berkenaan ke media sosial menganggap Chatchai ‘ibu’ terbaik di situ. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 7:08 PM