pinera mahu sistem penjagaan warga tua dikaji semula. FOTO/AFP
AFP

SANTIAGO: Presiden Chile, Sebastian Pinera mahu sistem penjagaan warga tua dikaji semula, susulan insiden kebakaran di sebuah rumah penjagaan di sini, yang mengorbankan 10 penghuni wanitanya.

Tragedi itu juga menimbulkan perdebatan dalam kalangan penduduk mengenai situasi yang terpaksa dihadapi ribuan warga tua, selepas kualiti hidup mereka terjejas berikutan kenaikan kos hidup dan kadar pencen yang rendah.

Pihak berkuasa berkata, kebakaran yang berlaku pada awal pagi di rumah jagaan Santa Marta di Chiguayante itu, merebak dengan terlalu cepat.

“Kesemua 10 mangsa yang terkorban adalah wanita dan mereka mendiami asrama nombor dua.

“Mereka gagal menyelamatkan diri kerana pergerakan mereka terbatas dan hanya mampu berbaring di atas katil.

“Namun, seorang mangsa yang terselamat kini dirawat di pusat kesihatan berhampiran,” kata Gabenor Wilayah Biobio, Jorge Ulloa kepada wartawan tempatan.

Sehingga kini, punca kebakaran berkenaan masih disiasat.

Sementara itu, Pinera yang melawat lokasi kejadian berkata: “Saya berharap insiden yang tragik ini mampu menyedarkan kita dan masyarakat supaya lebih menyayangi serta sedia menyalurkan bantuan kepada golongan warga tua”.

Malah, Presiden Ecuador itu berkata, program pembaharuan keselamatan sosial yang bakal dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan menyediakan seksyen khusus untuk warga tua, bagi memudahkan ahli keluarga menjaga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:29 AM