KANAK-kanak AS menghabiskan masa 3.6jam sehari bersama peranti elektronik. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Hanya seorang daripada setiap 20 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) memenuhi garis panduan jumlah tidur, bersenam dan menonton televisyen manakala satu pertiga lagi tidak mencapai kriteria ditetapkan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan Khamis, secara purata kanak-kanak berusia 8 hingga 11 tahun menghabiskan 3.6 jam sehari dengan menonton televisyen, telefon bimbit, peranti elektronik atau skrin komputer, dua kali ganda lebih tinggi dari had disyorkan.

Laporan oleh The Lancet Child & Adolescent Health itu menyebut, kekurangan waktu tidur itu terbukti menyebabkan kekurangan kemahiran kognitif seperti kebolehan berbahasa, memori dan menyelesaikan tugasan.

“Kami mendapati waktu menonton melebihi dua jam untuk kanak-kanak ini boleh membantutkan pembangunan kognitif mereka, kata ketua pengarang Jeremy Walsh, yang juga penyelidik di Institut Penyelidikan Hospital Kanak-Kanak Timur Ontario.

Berdasarkan penemuan kami, pakar pediatrik, ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar perlu mempromosikan had menonton bagi memberi lebih tumpuan kepada rutin tidur yang sihat ke atas kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Walsh dan pasukannya membuat pemerhatian ke atas data diperoleh dari soal jawab membabitkan 4,520 kanak - kanak di 20 lokasi di AS.

Mereka turut menguji kanak-kanak terbabit dengan enam kemahiran kognitif dan membuat keputusan berdasarkan pendapatan isi rumah, perkembangan pembesaran serta beberapa faktor lain yang memberi kesan pada persembahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:10 AM