X
‘ANAK anjing’ yang dibeli murah rupanya tikus buluh. - Agensi
‘ANAK anjing’ yang dibeli murah rupanya tikus buluh. - Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ‘anak anjing comel’ berwarna hitam yang dibelinya dengan harga murah sebenarnya sejenis tikus, malah hanya menyedari kesilapan itu selepas melihat haiwan berkenaan berlari dengan pelik, lapor media tempatan.

Bercakap kepada media China, lelaki berkenaan berkata, dia cuma menyedari sesuatu tidak kena selepas haiwan kesayangannya itu membesar.

Btime memetik lelaki itu berkata, dia hairan melihat ‘anjing’ berkenaan berkelakuan pelik, malah tidak berlari seperti anjing.

Kerana keliru dengan keadaan itu, dia meminta pandangan rakan di media sosial mengenai ‘anak anjing’ berkenaan, malah mengongsikan gambarnya di Weibo dengan harapan mendapat jawapan.

Haiwan itu yang kecil dengan telinga besar dan kaki pendek, kemudian dikenal pasti sebagai tikus buluh, rodensia yang lazim ditemui di selatan China, Myanmar dan Vietnam.

Tikus itu makan buluh termasuk akarnya dan mampu membesar sehingga 50 sentimeter dengan ekor sepanjang 20 sentimeter.

Malah, haiwan itu juga dijadikan makanan di China dan sering dijual di pasar.

Lelaki malang itu yang terkejut dengan jawapan diperoleh kemudian menyerahkan haiwan berkenaan kepada orang lain kerana tidak tahu cara menjaga tikus itu, lapor Daily Mirror.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 6:00 AM