ADEL Al-Jubeir berucap di forum pertahanan serantau di Manama, Bahrain. FOTO Reuters
ADEL Al-Jubeir berucap di forum pertahanan serantau di Manama, Bahrain. FOTO Reuters
AFP

ARAB SAUDI akan mendakwa suspek dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, kata menteri luar Arab Saudi susulan Turki mengeluarkan permohonan mengekstradisi mereka.

Bercakap di forum pertahanan serantau di Manama, Bahrain, Adel al-Jubeir berkata: “Berhubung isu ekstradisi, mereka (suspek) rakyat Arab Saudi dan ditahan di negara kami. Siasatan akan dijalankan di Arab Saudi, begitu juga pendakwaan mereka.

“Kami akan mengatasi isu ini. Ia sedang disiasat. Kebenaran akan didedahkan. Kami akan memastikan mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman. Dan kami akan memastikan ia tidak berulang.”

Kenyataan Adel itu sehari selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa 18 rakyat Arab Saudi diekstradisi kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan Jamal, pengkritik lantang Riyadh yang maut di konsulat negaranya di Istanbul, awal bulan ini.

Selepas menafikan tahu lokasi Jamal selama hampir tiga minggu, Riyadh mengaku pembunuhan Jamal sudah dirancang namun menafikan pembabitan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Jamal kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu untuk menyiapkan dokumen perkahwinannya dengan tunangnya, wanita Turki, Hatice Cengiz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:40 PM