Budh Ram (duduk di tengah) yang berusia 95 tahun mengejutkan keluarganya apabila bangun ketika mahu dimandikan pada majlis pengebuniannya di New Delhi - Agensi

New Delhi: Seorang warga emas yang disangka mati mengejutkan ahli keluarganya apabila tiba-tiba bangun ketika mahu dimandikan pada majlis pengebumiannya, malah menjelaskan dia sekadar terlena.

Daily Mail melaporkan, kejadian pelik itu berlaku di Jhunjhunu, Rajasthan, India apabila lelaki berusia 95 tahun yang pada mulanya disahkan mati oleh doktor, kembali hidup.

Media tempatan melaporkan, Budh Ram pengsan di rumahnya sebelum keluarganya memanggil bantuan doktor ke rumah namun diberitahu lelaki itu meninggal dunia.

Keluarganya terus membuat persediaan dan memanggil sami sebagai persediaan untuk mengadakan majlis pengebumian pesara itu.

Menurut anak sulungnya, Balu Ram, 65, mereka melakukan persiapan dengan memandikan mayat dengan menjirus air ke badan ‘mayat’ berkenaan, namun terkejut apabila bapanya itu menggigil.

Dia kemudiannya mengangkat bapanya ke katil dan mendapati warga emas itu mula bernafas dan boleh duduk seperti biasa.

Balu Ram yang gembira melihat bapanya itu menyifatkan kejadian itu sebagai satu perkara ajaib. - Agensi

https://www.dailymail.co.uk/news/article-6372989/Dead-man-95-stuns-relat...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 8:52 PM