KARTUN kontroversi Serena Williams siaran akhbar Australia yang disifatkan perkauman dan seksis. FOTO Agensi
KARTUN kontroversi Serena Williams siaran akhbar Australia yang disifatkan perkauman dan seksis. FOTO Agensi
AFP

SYDNEY: Kartun kontroversi Serena Williams siaran akhbar Australia yang disifatkan perkauman dan seksis, tidak melanggar standard media, kata pemerhati media negara itu.

AFP melaporkan, karikatur oleh Mark Knight dalam Herald-Sun Melbourne pada September lalu menggambarkan Serena bertubuh sasa dan berbibir tebal mengamuk selepas tewas kepada Naomi Osaka dalam perlawanan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Kartun yang diterbitkan pada muka depan bertajuk ‘WELCOME TO PC WORLD’ itu dikecam seluruh dunia termasuk penulis buku Harry Potter, JK Rowling dan akhbar Washington Post yang menyamakannya dengan zaman pengasingan kaum di AS.

Majlis Media Australia menerima aduan bahawa perbuatan itu mungkin menyinggung dan menggambarkan imej seksis seorang wanita serta prejudis perkauman terhadap rakyat berketurunan Afrika-Amerika secara umum.

Katanya, terdapat kebimbangan mengenai kartun itu yang menggambarkan Williams dengan ‘bibir tebal, hidung lebar, gaya rambut afro yang diikat serta berkelakuan seperti beruk’.

Namun, ia menerima niat akhbar terbabit yang hanya menggambarkan kelakuan pemain tenis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:49 AM