GEORGE Clooney. FOTO AFP
GEORGE Clooney. FOTO AFP
AgensiAgensi

WASHINGTON: Pelakon Amerika Syarikat (AS), George Clooney menggesa tindakan boikot terhadap sembilan hotel milik Brunei kerana membantah negara itu melaksanakan hukuman sebat atau direjam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina yang bermula minggu depan.

AFP melaporkan, bintang Hollywood itu menyuarakan bantahannya dengan menulis di laman web Deadline Hollywood.

“Setiap kali kita menggunakan mana-mana sembilan hotel ini, kita memberi keuntungan terus ke dalam poket individu yang memilih untuk melaksanakan hukuman sebat dan rejam rakyatnya kerana menjadi gay atau dituduh berzina,” tulisnya.

Brunei mempunyai sembilan hotel terletak di AS, Britain, Perancis dan Itali.

Reuters melaporkan sebelum ini, Sultan Brunei yang juga Perdana Menteri mengumumkan undang-undang syariah itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Dalam fasa pertama yang dilaksanakan pada Mei 2014, umat Islam yang melakukan kesalahan hamil luar nikah, tidak solat Jumaat dan mempromosikan kepercayaan lain selain Islam, boleh dikenakan denda atau penjara.

Namun, menurut pertubuhan hak asasi manusia, pelaksanaan fasa kedua dan ketiga undang-undang Syariah itu membolehkan pesalah disebat atau direjam dengan batu sampai mati terhadap umat Islam yang melakukan kesalahan zina, liwat dan rogol serta kesalahan lain, seperti minum arak dan mencuri.

Brunei menangguhkan pelaksanaan dua fasa terakhir berikutan bantahan masyarakat antarabangsa pada 2014 namun menurut pengasas pertubuhan hak asasi manusia The Brunei Project, Matthew Woolfe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:34 AM