RUMANA menjadi wanita Rohingya pertama dibunuh dalam operasi pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan dadah di negara itu. FOTO: AFP
AFP

DHAKA: Tentera Bangladesh menembak mati seorang wanita Rohingya di sebuah bandar yang menjadi tempat transit penyeludupan pil methamphetamine dari Myanmar, semalam.

Aktivis berkata, Rumana Akter, 20, menjadi wanita Rohingya pertama dibunuh dalam operasi pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan dadah di negara itu.

AFP melaporkan, Rumana antara tiga penyeludup terbunuh dalam dua kejadian berasingan di Teknaf yang terletak berhampiran kem menempatkan sekitar satu juta pelarian Rohingya.

Jurucakap Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) Shariful Islam berkata, wanita itu maut dalam kejadian tembak menembak antara tentera dan penyeludup di Sungai Naf.

Shariful memberitahu wartawan mayat wanita terbabit ditemui selepas pertempuran selama 15 minit dan beg dibawanya mengandungi 10,000 biji pil methamphetamine ‘yaba’ serta tiga pisau.

Selain itu, polis turut menemui enam senapang dan 18 pusingan peluru di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:55 PM