GEMPA bumi berukuran 5.2 magnitud melanda wilayah barat Kermanshah.
AFP

TEHRAN: Gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda wilayah barat Kermanshah, Iran yang bersempadan dengan Iraq tetapi tiada kerosakan atau kematian dilaporkan, kata pihak berkuasa.

Gempa bumi yang menggegarkan kawasan itu turut dilanda bencana banjir baru-baru ini, menyebabkan seluruh bandar terputus hubungan dan menenggelamkan kebanyakan kampung.

Lebih 40 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana banjir pada bulan lalu di seluruh Iran.

Pusat seismologi kebangsaan berkata pusat gempa itu 22 kilometer ke selatan bandar Sumar pada kedalaman 10 kilometer.

“Syukur tiada kerosakan atau kematian dilaporkan sehingga kini,” kata gabenor Kermanshah, Houshang Bazvand kepada stesen penyiar rasmi.

Kedudukan Iran yang terletak di atas dua plat tektonik utama menyebabkan sering mengalami aktiviti seismik.

Kali terakhir gempa bumi besar adalah pada November 2017 apabila gegaran sekuat 7.3 magnitud melanda Kermanshah menyebabkan 620 orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:34 PM