GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

SINGAPURA: Gergasi teknologi menolak cadangan undang-undang berita palsu oleh Singapura bagi membolehkan pihak berkuasa negara itu membuang kandungan dan mengenakan denda tinggi. Perkara itu dianggap pengkritik sebagai kecaman ke atas kebebasan bersuara.

Kerajaan memperkenalkan satu rang undang-undang minggu lalu, termasuk kuasa yang memberi kebenaran kepada menterinya untuk memerintahkan laman media sosial seperti Facebook agar membuang kandungan melampau.

Mereka yang menyebarkan berita palsu dan mengakibatkan kerosakan ke atas Singapura, boleh didenda sehingga 1 juta dolar Singapura (RM3.1 juta) dan penjara sehingga 10 tahun.

Pihak berkuasa di negara itu sudah lama dikritik kerana menyekat kebebasan sivil sambil menegaskan langkah itu diperlukan untuk mengelakkan perpecahan kaum.

Tetapi pihak kebebasan akhbar mengutuk cadangan itu dan berpendapat mereka boleh menyekat perbincangan secara dalam talian seperti mana pengusaha rangkaian teknologi yang mempunyai pelaburan besar di bandar itu.

“Cadangan ke atas undang-undang ini membawa risiko yang signifikan terhadap kebebasan bersuara dan ucapan terbuka,” kata jurucakap Asia Internet Coalition yang dianggotai antaranya Facebook, Google dan Twitter.

Pada November lalu, Facebook menolak permintaan kerajaan Singapura untuk membuang artikel menghubungkan negara itu dengan skandal kewangan di Malaysia yang dianggap tidak benar. Kementerian perundangan menyifatkan firma itu ‘tidak boleh dipercayai untuk menapis kepalsuan’.

Menurut pengkritik, aspek yang paling membimbangkan mengenai undang-undang baru itu adalah ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk memutuskan sama ada sesuatu berita adalah palsu atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 2:01 PM