GAMBAR Ardern memakai tudung hitam dipuji umat Islam seluruh dunia. - Agensi
GAMBAR Ardern memakai tudung hitam dipuji umat Islam seluruh dunia. - Agensi

Reuters

PERDANA Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang mendapat sanjungan ramai di dalam dan luar negara kerana bijak mengendalikan kes keganasan dua masjid di Christchurch bulan lalu, memperoleh sokongan tertinggi sejak memegang jawatan itu.

Tinjauan politik 1 NEWS Colmar Brunton semalam, menunjukkan 51 responden memilih Ardern sebagai Perdana Menteri pilihan mereka, melonjak daripada cuma tujuh mata peratus pada tinjauan akhir Februari lalu.

Ia adalah tinjauan politik pertama sejak pengganas kulit putih membunuh 50 jemaah di dua masjid pada 15 Mac lalu.

Sokongan kepada saingan Ardern, Simon Bridges iaitu pemimpin Parti Nasional jatuh satu mata peratus kepada lima peratus.

Keputusan undian parti juga menunjukkan sokongan kepada Parti Buruh pimpinan Ardern meningkat tiga mata peratus kepada 48 peratus manakala sokongan untuk Parti Nasional jatuh ke paras terendah sejak September 2017, iaitu 40 peratus.

“Saya hanya menjalankan tugas saya sebaik mungkin, semampu saya,” kata Ardern kepada 1NEWS ketika ditanya mengenai keputusan tinjauan itu.

Sejak menjawat jawatan itu pada 2017, kerajaan campuran pimpinan Ardern berhadapan beberapa cabaran termasuk penurunan keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi lemah.

Usianya dan status selebriti global juga memberi keraguan kepada pengkritik.

Namun pemimpin berusia 38 tahun itu mendapat pujian dunia beberapa jam selepas serangan pengganas di Christchurch.

Beliau segera melabelkan pembunuhan beramai-ramai itu sebagai keganasan dan menegaskan negara itu tidak akan terjejas dengan keganasan dan ketakutan yang dialami negara lain sejak dua dekad lalu.

Gambar Ardern memakai tudung hitam dan menenangkan keluarga mangsa tular di media sosial, dipuji umat Islam seluruh dunia, selain pemimpin negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:13 AM