MANGSA yang dikenali sebagai Liu dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia ketika rawatan. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Kerana marah selepas anak perempuannya menjadi mangsa buli di sekolah, seorang bapa di China bertindak menikam seorang murid lelaki berusia 10 tahun hingga mati.

Shanghaiist melaporkan, dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, lelaki berusia 41 tahun itu yang dikenali sebagai Wang datang ke sebuah sekolah rendah di Jiangxi sebelum menikam murid berkenaan dengan pisau pemotong buah.

Mangsa yang dikenali sebagai Liu dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia ketika rawatan.

Wang pula ditahan polis di sekolah berkenaan.

Polis memberitahu, ketika disoal-siasat Wang mengaku dia menikam murid itu kerana mangsa sering membuli anaknya.

Sementara itu, media sosial di China turut tular dengan perbualan kumpulan aplikasi WeChat guru dan ibu bapa di mana Wang menuduh Liu sering membuli anaknya walaupun sudah diberitahu untuk berhenti berbuat demikian.

Dalam perbualan berkenaan Wang mengancam untuk mengambil tindakan sendiri sekiranya guru gagal menghalang Liu daripada membuli anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 11:49 AM