PRABOWO menuntut mahkamah membatalkan keputusan rasmi itu atau mengadakan pilihan raya baharu. - AFP
Reuters

JAKARTA: Peguam Prabowo Subianto semalam, meminta Mahkamah Perlembagaan Indonesia mengisytiharkan kemenangan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) lalu, sebagai tidak sah kerana diperoleh melalui ‘penipuan undi yang sistematik dan salah guna kuasa.’

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) bulan lalu, menunjukkan Jokowi mengalahkan Prabowo dengan kelebihan 11 peratus untuk meraih 55 peratus undi dalam pilihan raya April lalu.

Tindakan Prabowo menolak kemenangan Jokowi itu mencetuskan rusuhan besar di Jakarta bulan lalu, menyebabkan lapan terbunuh manakala ratusan lagi cedera.

Polis menahan puluhan suspek, termasuk sekutu rapat Prabowo yang didakwa mengarahkan pembunuhan terhadap beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 17,000 polis selain tentera dikerah mengawal keamanan semalam, bagi mengelak rusuhan berulang.

Ada beberapa bantahan aman dengan jumlah peserta yang kecil diadakan berdekatan bangunan mahkamah yang dikawal ketat. Peserta membawa sepanduk bertulis ‘Kami tuntut keadilan.’

Prabowo dan pasukan kempennya menuntut mahkamah membatalkan keputusan rasmi itu, membatalkan kelayakan Jokowi dan naib presidennya (Amin Ma’aruf) atau mengadakan pilihan raya baharu.

Mahkamah dijangka membuat keputusan pada 28 Jun.

Ketua pasukan peguam mewakili Prabowo, Bambang Widjojanto, mengemukakan isu dana kempen Jokowi serta penggunaan kemudahan negara sebagai jentera kempen.

KPU sebelum ini menyatakan tiada bukti penipuan sistematik manakala pemerhati bebas menyatakan pilihan raya berlangsung adil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 9:01 AM