GEMPA bumi yang berlaku di China. FOTO Reuters.
Reuters

BEIJING: Angka kematian akibat dua gempa bumi di China meningkat kepada 11 orang manakala 122 lagi cedera, kata media tempatan.

Reuters melaporkan, gempa yang berselang 30 minit itu menggegarkan barat daya wilayah Sichuan lewat semalam dan gempa turut dirasai di wilayah lain seperti Chengdu dan Chongqing.

Beberapa gambar yang dimuat naik di akaun media sosial media tempatan menunjukkan orang ramai bergegas keluar ke jalan raya dan terdapat rekahan pada beberapa bangunan akibat gempa.

Menurut laporan stesen televisyen tempatan, anggota penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan hidup-hidup berhampiran pusat gempa.

Gempa pertama dilaporkan berukuran magnitud 5.9 dan disusuli dengan gegaran kecil berukuran magnitud 5.2 pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat berhampiran daerah Changning, kata Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:13 AM