SEDUTAN video menunjukkan Edwards menangkap suspek (baju merah) sebelum menggarinya. FOTO Agensi.
Reuters

SYDNEY: Seorang pegawai polis di Australia menghentikan sidang media untuk mengejar dan menangkap seorang lelaki yang kini didakwa membuat kekacauan di tempat awam dan mengendap.

Detektif Kanan, Sarjan Daren Edwards segera menghentikan sidang media di luar Mahkamah Majistret Maroochydore untuk menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun yang dikejar beberapa individu.

Menurut media tempatan, lelaki itu dikejar keluarga seorang remaja perempuan selepas dia mengeluarkan komen tidak senonoh terhadap gadis itu.

Polis memberitahu, lelaki itu kini didakwa membuat kekacauan di tempat awam dan menghendap.

Edwards yang juga bekas pemain ragbi menjatuhkan lelaki itu sebelum menggarinya.

Video yang menunjukkan Edwards menjatuhkan suspek menggunakan teknik ragbi tular di media sosial dan mendapat pujian orang ramai termasuk pemain ragbi profesional.

“Satu jatuhan yang baik,” kata seorang pengguna Twitter.

Edwards yang mengalami calar di dahi memberitahu, tugas sebagai anggota polis menyebabkan dia sentiasa bersedia.

“Anda tidak tahu apa yang anda akan hadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:01 AM