ANGGOTA keselamatan Arab Saudi berkawal di Lapangan Terbang Abha selepas serangan oleh pemberontak Houthi. -Foto Reuters
ANGGOTA keselamatan Arab Saudi berkawal di Lapangan Terbang Abha selepas serangan oleh pemberontak Houthi. -Foto Reuters
AFP

RIYADH: Seorang warga Syria maut dan tujuh penduduk awam cedera semalam dalam serangan yang didakwa dilancarkan pemberontak Yaman ke atas sebuah lapangan terbang di selatan Arab Saudi.

“Serangan pengganas oleh pemberontak Houthi yang disokong Iran dilancarkan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha, yang menerima ribuan penumpang sehari.

“Seorang warga Syria terbunuh dan tujuh orang awam cedera dalam serangan itu,” kata tentera pakatan diketuai Arab Saudi dalam kenyataan yang disiarkan Saudi Press Agency (SPA).

Pasukan pakatan tidak memberikan butiran lanjut mengenai cara ia diserang, tetapi Houthi berulang kali melancarkan dron dan peluru berpandu bulan ini.

Terdahulu, stesen Al-Masirah TV milik pemberontak melaporkan mereka mensasarkan lapangan terbang Abha dan Jizan di selatan negara itu dengan dron.

Pihak berkuasa lapangan terbang Abha berkata dalam Twitter, trafik udara disambung kembali dengan berfungsi dengan normal, tanpa memberikan butiran lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:40 AM