JUMLAH kematian meningkat lebih 150 hari ini.
JUMLAH kematian meningkat lebih 150 hari ini.
AFP

PATNA: Jumlah kematian akibat jangkitan otak yang dialami kanak-kanak di Bihar, India, meningkat lebih 150 hari ini.

Mahkamah Agung India turut menuntut kerajaan menjelaskan langkah yang diambil untuk memerangi penyebaran Sindrom Ensefalitis Akut (AES) iaitu penyakit maut berkait dengan pemakanan buah laici tidak dicuci.

Pihak berkuasa berkata 152 kanak-kanak meninggal di daerah berkenaan di seluruh negeri timur, dengan 131 dirawat di dua hospital di pusat wabak Muzaffarpur.

Pegawai kesihatan berkata 111 kanak-kanak maut di Hospital dan Kolej Perubatan Sri Krishna, manakala 20 lagi di Hospital Kejriwal, dikendalikan pihak swasta.

Lebih 1,350 kanak-kanak maut akibat sindrom sama pada dekad lalu, termasuk 355 pada 2014.

AES menyebabkan keradangan otak, memberi kesan tinggi kepada kanak-kanak yang kurang nutrisi di bawah umur 10 tahun.

Punca sindrom berkenaan masih tidak diketahui, tetapi menurut pakar toksik dalam buah laici menyebabkan kadar gula dalam darah merosot tiba-tiba sehingga mempengaruhi otak.

Antara gejala AES termasuk demam, muntah dan kejang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:41 PM