TEMPAT kejadian dua pengebom berani mati yang menyerang pihak keselamatan di ibu kota Tunisia.
AFP

TUNIS: Dua pengebom berani mati yang menyerang pihak keselamatan di ibu kota Tunisia hari ini menyebabkan seorang anggota polis terbunuh manakala sekurang-kurangnya lapan cedera termasuk beberapa orang awam, kata kementerian dalam negeri.

AFP melaporkan, satu daripada serangan itu berlaku di Tunis yang menyebabkan tiga orang awam dan dua anggota polis cedera, kata kementerian itu.

Jurucakapnya, Sofiene Zaag kemudiannya mengesahkan salah seorang anggota polis itu mati akibat cedera parah.

“Ia adalah serangan bom berani mati yang berlaku pada jam 10.50 pagi (waktu tempatan),” katanya.

Manakala serangan kedua pula berlaku kira-kira 10 minit selepas itu yang menyasarkan pangkalan pihak keselamatan hingga mencederakan empat anggota.

“Pada jam 11 pagi (waktu tempatan) seorang individu meletupkan dirinya di luar pintu belakang dan mencederakan empat anggota,” kata Zaag.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:14 PM