SEKURANG-KURANGNYA 45 maut manakala lebih 100 lagi dilaporkan cedera. FOTO Agensi
AFP

AHUMBE, Nigeria: Sekurang-kurangnya 45 maut manakala lebih 100 lagi cedera di tengah Nigeria selepas sebuah lori tangki terbabas dan meletup ketika orang ramai berebut-rebut mengambil minyak yang bocor, kata perkhidmatan kecemasan hari ini.

Lori tangki itu dilaporkan terbalik berhampiran beberapa kedai di kampung Ahumbe di negeri Benue semalam.

Penduduk kemudiannya berebut-rebut menadah minyak yang bocor tetapi sejam kemudian lori tangki itu terbakar menyebabkan ia meletup.

“Kami menemui 45 mayat yang rentung manakala 101 lagi mangsa mengalami lecur yang serius,” kata pegawai Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan Benue, Aliyu Baba.

“Berdasarkan keadaan dan kecederaan, kebanyakan mangsa yang cedera ini mungkin tidak dapat diselamatkan,” tambahnya.

Katanya, seorang wanita hamil dan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak antara mangsa yang maut. Dua anggota bomba turut mengalami kecederaan serius.

Katanya, kebakaran berlaku sebuah bas yang penuh dengan penumpang melalui kawasan kemalangan dan ekzosnya bergesel di jalan raya mencetuskan percikan api lalu menyambar minyak dari lori tangki berkenaan.

“Seramai 16 penumpang bas itu termasuk dua kanak-kanak dan wanita mengandung maut akibat terbakar,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 10:59 PM