PIRAMID Raja Sneferu. FOTO/REUTERS
AFP

DAHSHUR (MESIR): Kerajaan Mesir membuka dua piramid purba di selatan Kaherah dan memperkenalkan koleksi baru keranda batu mengandungi mumia yang masih terpelihara dengan baik.

Menteri Antikuiti, Khaled Al Anani memberitahu wartawan, Piramid Raja Sneferu iaitu firaun pertama dari dinasti keempat Mesir dan sebuah lagi piramid berdekatan akan dibuka semula buat pertama kali sejak 1965.

Katanya, pasukan pakar arkeologi menemui keranda berkenaan dan dinding purba bertarikh Kerajaan Pertengahan kira-kira 4,000 tahun lalu.

Penemuan itu dibuat semasa kerja-kerja menggali di nekropolis Diraja Dahshur di tebing barat Sungai Nil, kawasan di mana terletaknya beberapa piramid tertua Mesir.

“Beberapa keranda batu, tanah liat dan kayu ditemui, ada yang mengandungi mumia dan dalam keadaan baik,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Dinding purba berkenaan berukuran kira-kira 60 meter tinggi dan terletak di bahagian selatan piramid Raja Amenemhat II, firaun dinasti ke-12 juga di nekropolis Dahshur.

Penggalian itu turut menemui peralatan pengebumian yang berusia hampir 300 tahun sehingga penaklukan Iskandar Zulkarnain di Mesir pada 332 Sebelum Masihi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir giat mempromosikan penemuan arkeologi seluruh negara dalam usaha memulihkan kembali sektor pelancongan selepas terjejas akibat kebangkitan ‘Arab Spring’ pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 9:26 PM