EMILY  mangsa pertama skuter elektrik yang dinaikinya di Britain. FOTO/AGENS
EMILY mangsa pertama skuter elektrik yang dinaikinya di Britain. FOTO/AGENS
Agensi

 

LONDON: Bintang YouTube, Emily Hartridge dilaporkan sebagai mangsa pertama skuter elektrik yang dinaikinya di Britain.

Daily Mail melaporkan, mangsa berusia 35 tahun terbabit dalam satu kemalangan selepas bertembung dengan sebuah lori yang jaraknya cuma satu kilometer dari rumahnya di Battersea, selatan London.

Kematiannya mencetuskan perdebatan hangat mengenai peningkatan penggunaan skuter elektrik secara haram di jalan raya.

Berita sedih itu dihebahkan melalui Instagram oleh keluarganya dengan berkata: "Emily terbabit dalam kemalangan semalam dan meninggal dunia. Kami semua menyayanginya dan dia pasti tidak akan dilupakan. Dia seorang yang sangat istimewa."

Penyampai dan pencipta rancangan di YouTube menerusi '10 Reasons Why' menarik lebih tiga juta penonton setiap bulan. Dia turut meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental melalui media sosial yang mempunyai lebih 340,000 pengikut pada saluran YouTube.

Kali terakhir Emily memuat naik status dirinya di YouTube iaitu empat hari sebelum kematiannya  dengan memuat naik video bersama kekasihnya dan memberitahu pengikutnya dia menerima skuter elektrik sebagai hadiah hari jadi. - Agensi

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 12:21 AM