SEORANG anggota polis lelaki yang menyamar sebagai wanita. FOTO Agensi
Agensi

MEDAN: Polis di Medan Timur berjaya menangkap satu kumpulan peragut bermotosikal yang menyasarkan golongan wanita selepas beberapa anggota polis lelaki menyamar sebagai wanita lengkap dengan memakai tudung.

Jurucakap polis Medan Timur, M Arifin berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes ragut dan curi motosikal yang dilakukan kumpulan itu yang menjadikan wanita sebagai sasaran utama.

“Dalam kejadian terbaru pada Selasa lalu, kumpulan itu menendang sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

“Susulan kes berkenaan kami merancang satu operasi untuk menangkap kumpulan itu,” katanya.

TIGA suspek yang berjaya ditahan polis. FOTO Agensi

Ujarnya, dalam operasi berkenaan beberapa anggota polis lelaki menyamar sebagai wanita lengkap dengan bertudung dan memakai topeng sebelum menunggang motosikal di beberapa lokasi yang sering berlaku jenayah berkenaan.

“Anggota ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada yang menyamar sebagai wanita dan ada yang melintasi jalan seperti pengguna jalan raya yang lain.

“Akhirnya perangkap ini berhasil apabila kumpulan ini cuba menyerang anggota polis yang menyamar ini sebelum ditangkap,” katanya.

Menurutnya, polis menangkap tiga suspek berusia 24, 21 dan 17 tahun dan merampas sejumlah barang curi daripada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:35 PM