ALVES bersama isterinya dan bayi mereka yang berusia 19 bulan. - Agensi
ALVES bersama isterinya dan bayi mereka yang berusia 19 bulan. - Agensi
Agensi

Brasilia: Seorang penganggur tergamak menghabiskan wang derma £130,000 (RM657,085) bagi rawatan penyakit tulang belakang anak untuk melanggan pelacur, membeli arak dan dadah.

Mateus Alves, 37, menyorok di sebuah hotel lima bintang di Salvador selama hampir sebulan sebelum ditahan polis pada 22 Julai lalu.

Dia dituduh mencuri wang anak lelaki Joao Miguel berusia 19 bulan yang menghidap penyakit jarang ditemui, Spinal Muscular Atrophy.

Sebanyak £216,000 (RM1.09 juta) dikumpul daripada saudara-mara, rakan-rakan dan orang awam untuk membeli tiga dos ubat Spinraza yang bukan dalam senarai perkhidmatan kesihatan Brazil.

Ketua Polis Daniel Gomes berkata, Alves mengaku menggunakan wang derma itu untuk melanggan pelacur, membeli arak dan dadah selain mendakwa diugut penjual dadah untuk menyerahkan wang selebihnya.

Kata Gomes, siasatan mendapati Alves merancang membuka rumah pelacuran dengan seorang rakan kongsi wanita dan lelaki itu mendakwa membelanja sebanyak £10,800 (RM54,588) untuk mengupah beberapa pelacur.

“Ketika disoal siasat, Alves mengaku sudah melaburkan sejumlah wang dalam sebuah rumah pelacuran di Salvador dan merancang membawa wanita dari Belo Horizonte ke Salvador,” kata Gomez.

Ketika serbuan di hotel, polis menemui beberapa jam mahal, barang kemas, minyak wangi, pakaian berjenama, dadah dan tunai sebanyak £650 (RM3300.67).

Alves yang turut mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun memasukkan wang derma itu ke dalam empat akaun bank berasingan.

Lelaki itu berdepan pertuduhan menipu dan memperdaya orang ramai untuk menderma wang ke dalam kempen anaknya yang digunakan untuk tujuan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 8:25 AM