LAPANGAN terbang Mitiga diserang roket. FOTO/AFP
LAPANGAN terbang Mitiga diserang roket. FOTO/AFP
AFP

TRIPOLI: Lapangan terbang Mitiga, Libya diserang roket semalam, sekali gus melanggar gencatan senjata sementara antara kerajaan perpaduan dan tentera yang setia kepada Khalifa Haftar.

“Lapangan terbang Mitiga diserang pada pagi ketika sambutan hari pertama Aidiladha,” kata pengurusan lapangan terbang dalam kenyataan di Facebook.

Kawalan trafik dihentikan sementara sehingga dan beberapa gambar kepulan asap dari landasan serta tempat letak pesawat turut disertakan bersama kenyataan itu.

Haftar melancarkan serangan untuk menawan ibu kota Libya pada awal April lalu, namun berdepan tentangan kuat, menyebabkan pasukannya menemui jalan buntu selama beberapa bulan di pinggir selatan Tripoli.

Sabtu lalu, tentera Kebangsaan Libya (LNA) dibawah pimpinan Haftar dan Kerajaan Permuafakatan Kebangsaan (GNA) bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata atas tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sempena sambutan Aidiladha.

GNA turut menyenaraikan beberapa syarat termasuk melarang sebarang pergerakan tentera.

Namun, GNA menyalahkan tentera Haftar terhadap serangan di lapangan terbang dan serangan berasingan di daerah Soug al-Jomaa, Tripoli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 10:56 AM