GRIFFIN diikat pada kerusi roda dalam keadaan tidak sedar. FOTO Agensi
Agensi

NEW YORK: Seorang pemuda gelandangan didakwa meletakkan bom palsu di sekitar New York selepas tiga periuk nasi elektrik kosong menyebabkan gangguan pengguna pengangkutan awam di New York.

Larry K Griffin II, 26, didakwa atas tuduhan meletakkan bom palsu, Jumaat lalu dalam kenyataan dikeluarkan polis New York, kelmarin, lapor AFP.

Tiga objek mencurigakan ditemui pada pagi Jumaat menyebabkan gangguan selama dua jam di kota itu yang turut melihat stesen kereta api bawah tanah dikosongkan dan perkhidmatan digantung di beberapa lokasi.

Semua objek berkenaan kemudian didapati cuma periuk nasi elektrik kosong dengan jenama dan model sama, kata polis.

Rakaman kamera litar keselamatan tertutup menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan dua periuk nasi dari troli beli-belah dan meletakkannya di satu stesen kereta api bawah tanah. Motif perbuatannya masih tidak diketahui.

Sementara itu, Mail Online melaporkan, Griffin ditahan selepas polis dipanggil sebuah rumah selepas dia dipercayai mengambil dadah berlebihan.

Gambar disiarkan menunjukkan Griffin seperti dalam keadaan tidak sedar diikat pada kerusi roda dengan topeng oksigen menutup mukanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 7:10 AM