RAKAMAN pengawasan menunjukkan pengawal keselamatan wanita itu sedang menyerahkan nota kecil kepada Strassner. FOTO Agensi
Agensi

NEW YORK: Seorang pengawal keselamatan wanita di New York berasa menyesal tak sudah kerana dipecat selepas dia memberikan sekeping nota bertulis ‘Kamu hodoh!’ kepada seorang pelancong lelaki di lapangan terbang di New York.

Fox News melaporkan, video pengawasan yang tular di Twitter awal minggu ini memaparkan, pekerja kontrak yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Greater Rochester menyerahkan nota berkenaan ketika Neal Strassner melepasi tempat pemeriksaan.

Strassner berkata, selepas mengambil nota ganjil itu, dia terus berjalan tanpa sebarang masalah, lapor Rochester First.

“Pengawal keselamatan wanita itu tiba-tiba memanggil saya dan bertanya sama ada saya membaca nota itu,” katanya dalam satu laporan.

Beberapa saat kemudian, wanita itu ketawa besar, seperti yang dilihat dalam rakaman pengawasan.

Melalui permohonan dikemukakan berdasarkan hak kebebasan maklumat, Strassner berpeluang melihat rakaman pengawasan kejadian berkenaan. Katanya, walaupun perbuatan biadab itu tidak menyakiti hatinya, kejadian seumpama itu boleh menyinggung perasaan jika berlaku kepada orang lain.

Strassner yakin itu bukan kali terakhir kejadian sebegitu, lapor ABC 13.

“Pada akhir video, dia mengeluarkan pen dari poketnya dan menulis di atas nota lagi. Jadi saya tahu, saya bukanlah satu-satunya yang menerima nota itu.” katanya.

Netizen media sosial pula tidak menganggap lawak wanita itu melucukan malah mengutuk tindakannya sebagai ‘dahsyat.’

“Saya tidak tahu sama ada dia patut dipecat tetapi perbuatannya kejam, tidak profesional dan umpama disengajakan.

“Perasaan anda pasti berubah jika seorang pelayan mengatakan anda hodoh pada resit bayaran. Saya pasti anda seorang wanita baik tetapi cukuplah dengan lawak sebegitu,” kata seorang pengguna.

Jurucakap Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) berkata, pihaknya sudah memecat pengawal keselamatan wanita itu selepas melakukan siasatan sebaik aduan diterima daripada pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:17 AM