PENYANYI rap Booba tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan berkenaan. FOTO Reuters
Reuters

PARIS: Sekurang-kurangnya dua orang cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang beberapa orang di lokasi penggambaran video membabitkan penyanyi rap Booba, kata pihak berkuasa, hari ini.

Menurut dua pegawai yang tidak mahu namanya dikenali, kira-kira 15 individu bersenjatakan kayu besbol dan senjata api, menyerang beberapa orang yang sedang membuat penggambaran video berkenaan di Aulnay-sous-Bois, utara Paris, lewat malam semalam.

Booba atau nama sebenarnya Elie Yaffa tidak mengalami kecederaan kerana sudah meninggalkan lokasi berkenaan ketika tembakan dilepaskan. Tiada tangkapan dibuat di atas serangan itu.

Insiden keganasan itu antara yang terbaharu di pinggir bandar Paris selepas seorang pelayan ditembak mati hujung minggu lalu di Noisy-Le-Grand kerana lambat menyediakan sandwich.

Manakala, di daerah Saint-Ouen berlaku pertempuran antara kumpulan samseng sepanjang musim panas.

Tahun lalu, Booba dan rombongannya terbabit dalam pertengkaran dengan kumpulan rap Perancis juga saingannya di lapangan terbang Paris’ Orly.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 10:03 PM