HAMPIR kesemua banduan yang berjaya meloloskan diri kembali secara sukarela untuk habiskan tempoh hukuman mereka. FOTO AFP
AFP

SORONG (Indonesia): Lebih 270 banduan termasuk mereka yang disabitkan kesalahan membunuh kembali semula ke penjara di Papua untuk menghabiskan hukuman selepas melarikan diri ketika berlakunya rusuhan baru-baru ini.

AFP melaporkan, banduan terbabit turut membantu jabatan pemulihan dengan membina pejabat sementara untuk kakitangan selepas sebahagian bangunan penjara dibakar dalam rusuhan di bandar Sorong minggu ini.

Kira-kira separuh daripada 500 banduan di penjara terbabit melarikan diri pada Isnin lalu selepas penjara dan beberapa bangunan lain dibakar penunjuk perasaan.

“Mereka bukan cuba untuk lari tetapi menyelamatkan diri daripada kebakaran. Banduan itu juga risau dengan keselamatan keluarga malah banduan yang disabitkan kesalahan membunuh sukarela kembali ke sini,” kata jurucakap penjara, Elly Yuzar.

Rusuhan itu tercetus selepas penunjuk perasaan melakukan bantahan berikutan sekumpulan penuntut Papua dilayan kasar oleh polis sebelum ditahan secara beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 3:55 PM