AFP

PORTO VELHO: Satu data rasmi hari ini mendedahkan ratusan kebakaran baru tercetus di hutan hujan Amazon, utara Brazil.

Data baru itu dilaporkan sehari selepas Presiden Jair Bolsonaro meluluskan pembabitan tentera dalam pemadaman api dan melumpuhkan aktiviti jenayah di rantau berkenaan.

Kebakaran di hutan hujan terbesar dunia itu mencetuskan kemarahan seluruh dunia dengan ribuan orang membuat bantahan di Brazil dan Eropah, semalam.

Berdasarkan data rasmi, Brazil mencatatkan sebanyak 78,383 kebakaran pada tahun ini dan separuh dari jumlah itu berlaku di Amazon.

Sebanyak 1,663 kebakaran baru di negara itu dikesan pada Khamis dan Jumaat lalu, lapor Institut Penyelidikan Angkasa Negara (INPE).

Baru-baru ini, Bolsonaro menuduh pertubuhan bukan kerajaan sengaja membakar hutan selepas dana mereka dihentikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 11:41 PM