NAHAS jalan raya membabitkan trak pikap di Riverside pinggir Dayton sekitar 7.30 pagi (waktu tempatan). FOTO hiasan
Reuters

OHIO: Dua kanak-kanak maut manakala 10 orang dewasa dan kanak-kanak lain cedera akibat kemalangan pelbagai kenderaan membabitkan sebuah kenderaan curi di Dayton, Ohio, kata polis.

Insiden berkenaan bermula selepas kejadian tikaman berlaku di Dayton, kata polis. Pada masa sama, berlaku nahas jalan raya membabitkan trak pikap di Riverside pinggir Dayton sekitar 7.30 pagi (waktu tempatan).

Suspek kejadian tikam melarikan diri menaiki sebuah kereta dan bertembung dengan sebuah trak pikap hingga melanggar pokok di pinggir Riverside, kata polis.

Semasa polis Riverside leka mencari pemandu trak, suspek bertindak melarikan diri dengan SUV polis, lapor Dayton Daily News dan media lain.

Suspek kemudiannya memandu ke Dayton dan melanggar sekurang-kurangnya tiga kenderaan lain termasuk sebuah van dengan tujuh kanak-kanak di dalamnya, sebelum merempuh SUV lain berhampiran Perpustakaan Dayton Metro, kata polis.

Beberapa saksi terdengar jeritan kanak-kanak dari dalam van, manakala beberapa bahagian kereta berselerak di atas jalan, lapor akhbar dan media lain.

“Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan dua kanak-kanak terkorban. Mangsa yang cedera termasuk tiga kanak-kanak dengan kecederaan kritikal,” kata polis Dayton, Mejar Eric Henderson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:28 PM