RIBUAN orang asli bakal kehilangan tanah yang diwarisi dari nenek moyang mereka di pulau Borneo
Reuters

BANGKOK: Ribuan orang asli bakal kehilangan tanah yang diwarisi dari nenek moyang mereka di pulau Borneo, apabila hutan dibersihkan untuk membangunkan ibu negara baharu Indonesia, kata aktivis alam sekitar.

Presiden Joko Widodo berkata pada minggu ini, ibu negara baharu di Kalimantan Timur di pulau Borneo bakal beroperasi pada 2024.

Rancangan itu dibuat selepas Jakarta didapati terlalu padat dan mengalami masalah pencemaran teruk selain dilaporkan semakin tenggelam berbanding Borneo yang terkenal dengan hutan, orang utan dan beruang matahari.

Kumpulan Hak Asasi Minoriti Antarabangsa (MRGI) berkata, orang asli kaum Dayak yang tinggal di Kalimantan kini terperangkap dengan usaha mempertahankan tanah tradisi mereka dan hutan daripada pembalakan, perlombongan dan perladangan kelapa sawit.

Jokowi berkata, kerajaan Indonesia sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung kesan pemindahan berkenaan.

Menteri Perancangan Indonesia, Bambang Brodjonegoro, berkata kerajaan sudah menjalankan penilaian antropologi, dan proses pengambilalihan tanah akan bermula pada 2020.

Namun, jurucakap kumpulan sokongan Pakatan Orang Asli Asia, Kittisak Rattanakrajangsri, berkata tiada rundingan diadakan dengan orang asli di Kalimantan Timur, yang bakal kehilangan tanah dan mata pencarian bagi memberi laluan kepada pembinaan ibu negara baharu Indonesia itu.

Pihak berkuasa berkata, mereka sudah menyediakan tanah seluas 180,000 hektar milik kerajaan di Kalimantan Timur untuk projek ibu negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 9:52 PM