RAKAMAN video menunjukkan empat lelaki berkenaan memasuki sungai dan membentuk rantai manusia untuk menyelamatkan mangsa. FOTO Agensi
Agensi

NEW DELHI: Empat lelaki sanggup bergadai nyawa memasuki sungai deras membentuk rantai manusia untuk menyelamatkan seorang budak perempuan dari lemas di Sutrapada, baru-baru ini.

Pada Jumaat lalu, mangsa yang berusia 12 tahun dihanyutkan arus ketika bersama keluarganya menyeberangi sungai Saraswati.

Memetik laporan Mirror UK, ketika kejadian, air sungai melimpah dan dua lelaki yang menyaksikan kejadian itu segera bertindak menyelamatkan mangsa.

Rakaman video oleh beberapa penduduk memaparkan lelaki berkenaan memasuki sungai dan cuba menarik mangsa ke tebing.

Bagaimanapun, arus deras menyukarkan mereka memastikan kepala mangsa berada di atas permukaan air.

Kemudian, dua lelaki lain muncul dan mereka membentuk rantai manusia dengan berpegang tangan untuk mengeluarkan mangsa dari air.

Bapa mangsa, Jithendra Kanjibhai Jadav bersyukur anaknya terselamat dan menganggapnya sebagai keajaiban.

Times of India melaporkan, barat India dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu hingga menyebabkan beberapa perkampungan ditenggelami banjir dan menjadi seperti pulau.

Dua mangsa lemas dalam kejadian berasingan di Rajkot dan Morbi pada Khamis lalu.

Di kampung Asota, beberapa kenderaan dan lembu dihanyut air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:17 AM