600,000 etnik Rohingya yang masih menetap di negeri Rakhine, Myanmar.
AFP

YANGON: Baki penduduk Islam Rohingya di Myanmar masih berdepan risiko pembunuhan beramai-ramai, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Pasukan penyiasat khas itu juga memberi amaran bahawa penghantaran pulang sejuta pelarian Rohingya di luar negara masih mustahil.

Dalam laporan mengejutkan itu, pasukan PBB berkata, 600,000 etnik Rohingya yang masih menetap di negeri Rakhine, Myanmar berada dalam keadaan teruk.

“Kerajaan Myanmar masih mempunyai niat membunuh baki Rohingya. Negara ini menafikan kesalahan, menghapuskan bukti, enggan menjalankan siasatan berkesan.

“Mereka juga merobohkan, merampas dan membina di atas tanah yang asalnya diduduki etnik Rohingya,” menurut laporan akhir pasukan itu di Myanmar yang akan dibentangkan di Geneva, hari ini.

Katanya, etnik Rohingya hidup dalam keadaan tidak berperikemanusiaan sambil menambah lebih 40,000 struktur dimusnahkan dalam operasi kejam kerajaan pada 2017.

Misi itu mengulangi gesaan supaya Majlis Keselamatan PBB untuk merujuk Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau menubuhkan tribunal seperti bekas Yugoslavia dan Rwanda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 12:46 AM