GERABAK tren terkeluar dari landasan berhampiran Stesen Hung Hom di Kowloon hingga menyebabkan lapan orang cedera. FOTO AFP
AFP

HONG KONG: Tren penumpang dilaporkan tergelincir ketika waktu sibuk di Hong Kong hari ini hingga menyebabkan lapan orang cedera, kata pihak berkuasa.

AFP melaporkan, tiga gerabak tren itu terkeluar dari landasan berhampiran Stesen Hung Hom di Kowloon dan penumpang terpaksa keluar menerusi pintu yang dipecahkan.

Pihak berkuasa berkata, kira-kira 500 penumpang dikeluarkan dari tren dan lapan daripada mereka mengalami kecederaan sebaik tiba di stesen.

Punca kejadian masih disiasat dan sehingga kini tidak ada unsur yang mengaitkan ia dengan serangan kumpulan penunjuk perasaan sebelum ini yang mencetuskan huru hara di bandar itu.

Perkhidmatan tren antara dua stesen kemudiannya digantung susulan kemalangan itu, kata MTR Corporation.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 1:31 PM