EMPAT warga China maut dalam nahas bas. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya empat maut manakala 15 yang lain cedera selepas bas yang membawa pelancong warga China terbabas berhampiran Taman Negara Bryce Canyon, Utah, Amerika Syarikat, semalam.

Menurut pihak peronda lebuh raya, kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira 11 kilometer dari pintu masuk taman berkenaan dan ia menyebabkan laluan terpaksa ditutup bagi membolehkan ambulans dan kenderaan penyelamat dikejarkan ke lokasi, lapor AFP.

Katanya, seramai 30 orang termasuk pemandu berada di dalam bas ketika ia menuju ke lokasi terkenal itu.

“Empat orang maut dan seramai 12 hingga 15 orang kritikal manakala 10 lagi sama ada cedera ringan atau serius,” tulis mereka di Twitter.

Beberapa gambar turut dimuat naik yang menunjukkan keadaan bumbung remuk dan tercabut.

“Bas itu menuju ke arah timur ketika ia terbabas dan melanggar penghadang jalan,” kata Jabatan Syerif Daerah Garfield di akaun Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:30 AM