BABLU berdepan hukuman penjara hingga 14 tahun atas kesalahan mencukur kepala isterinya. FOTO hiasan
AFP

DHAKA: Polis menahan seorang lelaki yang mencukur kepala isterinya selepas terjumpa sehelai rambut dalam makanan ketika ingin menikmati sarapan pagi, dalam kejadian di Bangladesh.

AFP melaporkan, lelaki terbabit, Bablu Mondal, 35, ditahan selepas polis menerima laporan penduduk sebelum melakukan serbuan di sebuah kampung di barat laut daerah Joypurhat.

“Dia terjumpa sehelai rambut dalam nasi dan susu yang disediakan oleh isterinya ketika ingin bersarapan pagi.

“Lelaki terbabit kemudiannya berang dan menyalahkan isterinya. Dia mengambil pisau cukur dan mencukur kepala mangsa,” kata ketua polis tempatan, Shahriar Khan.

Menurut kumpulan aktivis, insiden itu menunjukkan penindasan yang semakin menjadi-jadi terhadap wanita di negara berkenaan biarpun terdapat undang-undang yang melindungi mereka daripada penderaan dan serangan seksual.

Bablu didakwa atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang boleh dihukum penjara hingga 14 tahun selain bersikap keterlaluan terhadap isteri berusia 23 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:00 PM