BUMPOUS dan tunangnya, Dione Traylor.
Agensi

AUSTIN (Amerika Syarikat) : Akibat tidak mampu membeli cincin perkahwinan, seorang lelaki mengambil jalan singkat merompak bank sehari sebelum majlis perkahwinannya diadakan di Texas, Amerika Syarikat.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Heath Edward Bumpous merompak Citizens State Bank di Groveton kira-kira jam 11.30 pagi, selepas mengancam kerani bank menggunakan senjata.

Menurut Daily Mail, Bumpous sempat memberitahu kerani berkenaan dia akan berkahwin keesokannya dan memerlukan wang untuk membeli cincin dan perbelanjaan majlis itu.

Polis memuat naik rakaman CCTV menunjukkan wajah Bumpous di Facebook dan tunangnya, Dione Traylor, memujuk dia menyerah diri.

CNN yang memetik syerif Daerah Trinity, Woody Wallace berkata, lelaki itu membuat pengakuan salah ketika disoal siasat.

Katanya, pihak berkuasa berjaya mendapatkan semula wang rompakan terbabit dan menemui sepucuk pistol ketika memeriksa kereta miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 10:07 PM