GAMBAR Hiasan
AFP

NEW YORK: Mencipta daging daripada sel di makmal bukan lagi cerita dalam filem sains fiksyen apabila angkasawan Russia di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya melakukannya.

Saintis percaya dengan kejayaan terbaru itu tidak mustahil daging buatan akan dijual di pasar raya suatu hari nanti.

Ujian yang dilakukan di angkasa pada September lalu membawa kepada penghasilan tisu lembu, arnab dan ikan menggunakan pencetak 3D.

“Teknologi terbaru ini mungkin menjadikan perjalanan jarak jauh boleh dilakukan dan memperbaharui pengembaraan angkasa lepas sebagai contoh ke Marikh,” kata ketua syarikat Aleph Farms, Didier Toubia.

Aleph Farms yang berpangkalan di Israel itu menyediakan sel untuk ujian berkenaan.

“Bagaimanapun, matlamat kami bukan untuk menjual daging di Bumi. Ideanya bukannya menggantikan pertanian tradisional tetapi menjadi alternatif lebih baik daripada perladangan kilang,” jelasnya.

Burger pertama menggunakan stem sel lembu dicipta saintis Belanda, Mark Post dari Universiti Maastricht dan diperkenalkan pada 2013.

Sejak itu beberapa daging buatan mula dihasilkan tetapi kos yang masih tinggi menyebabkan tiada yang dipasarkan kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 11:00 AM