SULLI mati dipercayai akibat kemurungan teruk. FOTO/AFP
AFP

SEOUL: Seorang bintang K-pop popular yang sudah lama menjadi sasaran pembuli siber ditemui mati di rumahnya, kata polis Korea Selatan.

Mayat Sulli, 25, bekas anggota kumpulan f(x), ditemui pengurusnya di rumahnya di pinggir bandar Seoul.

Polis dalam satu kenyataan berkata, artis itu menghidap ‘kemurungan teruk.’ Punca sebenar kematiannya masih disiasat.

Korea Selatan mempunyai antara kadar bunuh diri tertinggi dunia, malah data kerajaan menunjukkan ia antara sebab kematian utama bagi golongan bawah 40 tahun.

Sulli, atau nama sebenarnya Choi Jin-ri, terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak asasi wanita dan kerap diganggu serta dibuli dalam talian kerananya.

Dia popular dengan f(x) sejak 2009 yang menjadi antara kumpulan K-pop wanita paling popular di dunia. Sulli mengundur dari dunia muzik pada 2014 kerana dibuli secara siber, sebelum meninggalkan kumpulan itu setahun kemudian untuk kerjaya dalam lakonan.

Sulli aktif di media sosial dan baru-baru ini menjadi hos rancangan televisyen di mana selebriti membincangkan pengalaman mereka dibuli di Internet.

Kematian mengejutkan peminat K-pop.

“Saya memang menyayangi dan menghormati keberanian kamu. Saya hanya mampu berharap kamu bersemadi dengan tenang,” kata seorang peminat di Instagram Sulli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:57 PM