SASHA bersama jururawat yang menjaganya di rumah anak yatim di Tomsk. FOTO Agensi
SASHA bersama jururawat yang menjaganya di rumah anak yatim di Tomsk. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Seorang bayi lelaki dilahirkan tanpa mata tetapi mempunyai personaliti yang begitu ceria kini mencari keluarga baru selepas diabaikan ibunya.

Alexander K atau lebih manja digelar Sasha dilahirkan di Tomsk, April lalu, tanpa mata akibat keadaan yang hanya dihidap dua bayi lain di dunia.

Dia dianggap unik kerana kesihatannya baik sedangkan bayi lain yang dilahirkan seperti itu turut mempunyai pelbagai penyakit lain.

Ibunya yang masih muda dilaporkan dibesarkan di rumah anak yatim dan menyerahkannya untuk dijadikan anak angkat selepas mendapat tahu kecacatan bayi yang bakal dilahirkan itu, kerana menganggap tidak mampu menjaganya sebaiknya, lapor Siberian Times.

Jururawat yang menjaga bayi berusia enam bulan itu berkata: “Dia sama saja seperti kanak-kanak lain, dia bermain dan sentiasa tersenyum seperti bayi yang sihat. Dia juga sangat suka berenang dan personalitinya amat ceria.”

Bayi itu juga mempunyai dua ketumbuhan kecil pada dahinya yang akan dibuang tidak lama lagi.

SASHA bayi sihat yang sentiasa tersenyum. FOTO Agensi
SASHA bayi sihat yang sentiasa tersenyum. FOTO Agensi

Sasha dipercayai mengalami sindrom anoftalmia SOX2 ekstrem yang menjejaskan satu dalam suku juta orang.

Doktor di Russia berkata, Sasha hanya seorang daripada tiga bayi didaftarkan di dunia yang dilahirkan tanpa mata langsung.

Dr Tatiana Rudnikovich berkata: “Sasha menjalani pemeriksaan seperti semua bayi seusianya. Keadaannya baik.”

Keterangan dalam dokumen untuk pengambilannya sebagai anak angkat menggambarkan Sasha sebagai ‘bayi yang tenang dan sentiasa tersenyum.’

“Sasha senyum sebaik mendengar suara dikenalinya. Ibunya menyerahkannya untuk dijadikan anak angkat sebaik melahirkannya.

“Tiada maklumat mengenai bapa Alexander, sebaliknya kotak yang sepatutnya diisikan namanya hanya diletakkan sengkang,” kata dokumen itu.

Kanak-kanak itu diharapkan dapat diambil sebagai anak angkat pasangan tempatan, tetapi jika tiada sesiapa yang sesuai dia mungkin diserahkan kepada keluarga angkat asing. Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang menyukarkannya diambil keluarga angkat di Amerika Syarikat (AS).

Baru-baru ini, dia menjalani pembedahan di St Petersburg, untuk memasukkan bebola mata kecil bagi memastikan wajahnya tidak cacat apabila dia membesar.

Dia akan menjalani pembedahan seperti itu setiap enam bulan dengan bebola mata yang semakin besar setiap kali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:36 AM