ANGGOTA penyelamat memegang ular tedung sepanjang empat meter di Krabi, Thailand. FOTO: AFP
AFP

BANGKOK: Satu pertubuhan menyelamatkan haiwan menangkap seekor ular tedung sepanjang empat meter di Krabi, Thailand yang dianggap sebagai antara reptilia terbesar yang pernah ditangkap mereka.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan pertubuhan itu menunjukkan seorang lelaki dengan berani mengejar dan menangkap ular berbisa berkenaan di dalam longkang.

Ular itu ditemui pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan perumahan sebelum menghubungi pertubuhan menyelamatkan haiwan berkenaan.

“Tujuh orang termasuk saya masuk ke dalam longkang untuk menangkap ular itu,” kata Kritkamon Kanghae, 26.

Katanya, ular tedung seberat 15 kilogram itu kemudiannya dilepaskan semula ke dalam kawasan hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:24 PM