GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan kepulan asap di bandar Ras al-Ain, Syria akibat bedilan tentera Turki. FOTO AFP
Agensi

ISTANBUL: Turki menuduh kumpulan bersenjata Kudish sengaja melepaskan tahanan Daish yang ditempatkan di penjara di bandar Tal Abyad dekat sempadan Syria dengan Turki.

AFP melaporkan menurut seorang pegawai kanan kerajaan Turki, tentera negara itu menyerbu penjara berkenaan semalam bagi mengambil tahanan Daish di situ.

“Sebelum mereka sampai, pengganas PKK/YPG sudah melepaskan tahanan Daish bagi menimbulkan kekecohan di kawasan berkenaan,” kata pegawai itu yang menegaskan tiada pintu penjara rosak.

Turki menganggap Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) dan Parti Pekerja Kudistan (PKK) sebagai pengganas.

Kelmarin, Kurdish mendakwa 800 ahli keluarga anggota Daish yang ditahan di Ain Issa berjaya melarikan diri selepas penjara berkenaan terkena serangan udara Turki dan lima anggota Daish melarikan diri dari penjara lain.

Turki bagaimanapun, mendakwa Kurdish sengaja melepaskan mereka.

Sementara itu, Sky News melaporkan, berang ditinggalkan Amerika Syarikat, kumpulan bersenjata terbesar Kurdish, Tentera Pembebasan Syria (SDF) tidak membenarkan Amerika mengambil anggota Daish paling bahaya.


KUMPULAN bersenjata Syria yang disokong Turki menunaikan solat ketika berkumpul menyertai tentera Turki di perkampungan Qirata, dekat bandar Manbij, semalam. FOTO AFP

Washington hanya berjaya membawa dua anggota Daish dari Britain, Alexanda Kotey dan El Shafee Elsheikh yang digelar The Beatles ke penjara di Iraq sebelum Turki menyerang Utrara Syria.

SDF ialah sekutu utama Amerika memerangi Daish di Syria, namun minggu lalu, Amerika memutuskan berundur sepenuhnya dari Syria memberi ruang kepada Turki menyerang untuk membentuk zon penampan 32 kilometer dari sempadannya.

Menurut New York Times, Amerika mahu mengambil kira-kira 60 tahanan Daish yang dianggap berbahaya namun SDF menjadikan mereka sebagai tebusan, enggan melepaskan kepada Amerika.

AFP melaporkan pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan sekatan terhadap Turki kerana menyerang Kurdish di Syria, menuduh sekutu Nato itu membahayakan orang awam serta menyebabkan tahanan Daish bebas.

“Saya bersedia sepenuhnya untuk memusnahkan ekonomi Turki jika pemimpin Turki berterusan meneruskan laluan kemusnahan ini,” kata Trump dalam kenyataan.

Sekatan itu meliputi kementerian pertahanan Turki, kementerian tenaga dan dalam negeri serta membekukan aset di Turki di Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:51 AM