SEORANG model pengsan selepas terkejut rambutnya dipotong pendek. FOTO/AGENSI
Agensi

ANKARA: Seorang model pengsan selepas terkejut mendapati rambut panjangnya dipotong hingga ke paras bawah bahu oleh peserta program realiti televisyen Turki, baru-baru ini.

Program berjudul Kuaforum Sensin atau ‘Awak Pendandan Rambut Saya’ memaparkan jurusolek dan pendandan rambut bersaing untuk bergelar juara.

Dalam episod terbaru, peserta Bilal Agin mahu memotong rambut panjang model, Ilayda bagi menyokong projek program berkenaan untuk pesakit kanser.

Bagaimanapun, Agin dikatakan tidak menjelaskan perkara sebenar dan tanpa pengetahuan Ilayda, dia memotong rambut wanita itu sepanjang 30 sentimeter.

Menerusi rakaman program itu, jelas kelihatan reaksi Ilayda yang terkejut sehingga menangis sebaik mendapati rambutnya dipotong hingga ke paras bawah bahu.

Reaksinya turut mengejutkan barisan juri, peserta dan model lain program itu, lapor Daily Mail, namun Agin dilihat hanya tersengih.

Ilayda segera meninggalkan pentas sebelum pengsan di hadapan pintu. Namun, dia bernasib baik apabila seorang pembantu produksi sempat membantunya daripada rebah ke lantai.

Rakaman video program terbabit tular di media sosial dan ditonton sebanyak 12 juta kali.

Pengguna media sosial turut mengecam tindakan Agin dan meluahkan rasa simpati terhadap pengalaman Ilayda.

Malah, ada yang berpendapat reaksi wanita itu adalah gimik produksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:48 PM