AFP

SAO PAULO: Tiga lelaki bersenjata mati ditembak selepas melarikan wang dari trak perisai di lapangan terbang Viracopos dan mengambil seorang ibu bersama bayinya sebagai tebusan di rumah mereka, semalam. 

Jurucakap polis memberitahu AFP, pertempuran antara tiga penyerang itu dengan pihak berkuasa tercetus di lapangan terbang berkenaan pada jam 10 pagi waktu tempatan. 

Dua daripadanya mati ditembak dan seorang anggota polis cedera.

Namun, seorang penyerang melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran dan menjadikan seorang wanita dan bayinya sebagai tebusan dalam kediaman mereka. 

Laman web berita G1 melaporkan penyerang itu berjaya ditembak mati penembak hendap. 

Kejadian itu turut menyebabkan penerbangan ditangguhkan selama 20 minit.

Selain itu, beberapa trak dilaporkan digunakan untuk menghalang laluan ke lapangan terbang, dipercayai bagi menyekat usaha polis mematahkan serangan perompak berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar penyerang insiden itu masih belum diletahui. 

Mereka memasuki kawasan terminal kargo menggunakan dua trak pikap menyerupai kenderaan digunakan kakitangan syarikat penerbangan.

Polis berkata, penyerang melarikan sejumlah wang dari trak perisai milik syarikat keselamatan Amerika Syarikat, Brink’s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 9:58 AM
TIGA lelaki bersenjata mati ditembak selepas melarikan wang dari trak perisai di lapangan terbang Viracopos. FOTO AFP