13 orang terbunuh dan sekitar 12 lagi hilang selepas empangan di sebuah lombong emas runtuh di Siberia.
AFP

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan sekitar 12 lagi hilang selepas empangan di sebuah lombong emas runtuh di Siberia, hari ini.

Menurut pihak berkuasa Russia, empangan di Sungai Seiba, rantau Krasnoyarsk pecah dan membanjiri kediaman mangsa.

Empangan itu dikatakan dibina secara haram tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Kejadian itu dalam siasatan kerana melanggar peraturan keselamatan dan Kementerian Kecemasan dalam satu kenyataan mengesahkan sekitar 13 orang terbunuh.

Kementerian Kesihatan Krasnoyarsk berkata, seramai 14 orang dimasukkan ke hospital dengan tiga daripadanya cedera serius.

Kira-kira 80 pekerja lombong itu dilaporkan tinggal di penempatan sementara di pedalaman Shchetinkino.

Lebih 270 orang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat, namun ia mencabarkan kerana terletak di pedalaman.

Empangan itu dimiliki syarikat induk Sibzoloto yang sehingga kini belum mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:51 PM