MAYAT bergelimpangan selepas pertempuran antara polis dan kartel dadah di Culiacan, Mexico. FOTO AFP
Agensi

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico mengakui kesilapan mereka dalam operasi cuba menahan anak lelaki raja dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman kerana pasukan keselamatan memandang rendah kemampuan askar sindiket dadah itu serta tidak menjangka kepantasan tindakan balas mereka.

Operasi yang tidak dirancang dengan baik kelmarin itu, mencetuskan pertempuran seperti medan perang di Culiacan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan terbunuh.

“Ia dilakukan dengan tergesa-gesa, tidak mempertimbangkan kemungkinan, termasuk aspek paling berisiko,” kata Menteri Pertahanan Mexico, Luis Cresencio Sandoval, pada sidang media di Culiacan, bersama Menteri Keselamatan Alfonso Durazo.

Reuters melaporkan, menurut Sandoval, operasi itu dilaksanakan tanpa memberitahu Kabinet dan menurutnya, jika pihaknya diberitahu operasi akan dilaksanakan dengan cara berlainan, termasuk menggunakan lebih ramai tentera, malah bersedia menggunakan helikopter penggempur.

Seramai 35 anggota polis memasuki sebuah rumah bagi menahan Ovidio Guzman berikutan perintah ekstradisi hakim persekutuan Amerika Syarikat pada 2018.

Walaupun sudah memasuki rumah dan Ovidio berada dalam rumah itu bersama tiga lagi, mereka tidak menahannya.

Mereka tiba-tiba mendapati dikepung anggota sindiket dadah yang bersenjata lengkap, malah sebahagiannya menggunakan senjata berkaliber besar (mesingan).

Anggota sindiket dalam kumpulan lain mengamuk di kawasan lain, melepaskan tembakan, termasuk menawan pondok tol bagi menguasai laluan utama ke bandar itu. Mereka mengawal semua persimpangan jalan di Culiacan.

Menurut Daily Mail, laporan menyebut serangan itu amat besar dan anggota kartel Sinola turut menahan beberapa tentera sebagai tebusan malah turut menyerang kawasan perumahan tentera.

Berikutan itu, kerajaan Mexico tiada pilihan dan mengarahkan anak El Chapo dibebaskan dan mengundurkan tentera dari Culiacan bagi mengelak lebih banyak terbunuh.

Sandoval berkata, polis mengepung rumah itu tanpa waran geledah dan memasukinya ketika menunggu waran dihantar namun serangan kartel sudah bermula sebelum waran dapat dihantar.

Peguam mewakili kartel dadah Mexico, Juan Pablo Badillo berkata, Ovidio Guzman dibebaskan atas arahan ‘bijak dan wajar’ oleh Presiden Andres Manuel López Obrador.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:21 AM