Skip this ad x
PENDUDUK melemparkan batu dan tomato ketika kenderaan berperisai Amerika melalui bandar Qamishli dekat sempadan Syria-Turki. FOTO Agensi
Agensi

ISTANBUL: Kenderaan tentera Amerika Syarikat yang meninggalkan Syria kelmarin, dilempar batu dan tomato busuk oleh penduduk Kurdish, berang dengan tindakan Amerika memutuskan kerjasama dengan kumpulan bersenjata Kurdish memberi peluang kepada Turki menghalau mereka dari sempadan.

Washington Post melaporkan, ketika kenderaan berperisai Amerika melalui bandar Qamishli dekat sempadan Syria-Turki, penduduk melemparnya dengan batu dan buah busuk, termasuk tomato.

Bagi penduduk Kurdish, pengunduran tentera Amerika itu dianggap sebagai pengkhianatan selepas mereka mempertaruhkan nyawa menundukkan Daish di Syria.

Pengunduran itu membuka laluan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, melancarkan operasi ketenteraan di utara Syria bagi menghalau Kurdish keluar dari zon selamat dikehendaki Ankara.

Sementara itu, AFP melaporkan Turki tidak akan menyambung operasi ketenteraannya selepas mencapai persetujuan dengan Russia yang memberi jaminan memastikan Kurdish berundur 30 kilometer dari sempadan Turki bersama senjata mereka.

Menurut Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, Turki tidak boleh mempercayai jaminan yang diberi rejim Syria dan dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu, beliau berkata, Moscow memberi jaminan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, tidak akan bekerjasama dengan kumpulan bersenjata Kurdish.

Menurutnya, melalui persetujuan yang dicapai beberapa jam sebelum tempoh gencatan senjata tamat dan Turki melancarkan kembali operasi ketenteraannya, Ankara akan melakukan rondaan bersama dengan Russia di sempadan Turki-Syria.

Berikutan itu, Turki mengumumkan ia tidak perlu melancarkan kembali operasi berkenaan yang bermula 9 Oktober lalu terhadap militia Tentera Demokratik Syria (SDF) yang diterajui Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG).

Ankara menganggap YPG sebagai pengganas kerana menyokong dan membantu pemberontakan bersenjata Parti Pekerja Kurdish (PKK) di Turki.

Persetujuan itu bermakna Turki berjaya mewujudkan zon selamat sepanjang 120 kilometer, selebar 30 kilometer dari sempadannya dalam wilayah Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:52 AM