KISAH Ann Grace menjadi tajuk utama akhbar Uganda. FOTO tori.ng
Agensi

KAMPALA: Seorang wanita di Amugagara, Uganda, menjadi perhatian negara itu berikutan laporan media menyatakan dia mempunyai tiga suami serentak dan semua mereka tinggal di pondok kecil kompleks pondok wanita terbabit.

Ann Grace Aguti, 36, berkata, bekas suami pertamanya ‘tidak berguna dan tidak penyayang’ menyebabkan dia mengambil keputusan bercerai sebelum berkahwin dengan tiga suami barunya.

“Dia gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami kerana saya terpaksa mencari wang bagi menyara hidup,” katanya.

Anak pastor masyarakat Teso itu berkata, dia berkahwin dengan tiga lelaki pilihannya itu dengan harapan mendapat kasih sayang dan nafkah mencukupi daripada mereka.

Namun, wanita itu masih belum ‘puas’ kerana menurutnya, mereka tidak sempurna dan masih mencari pasangan hidup istimewa.

Tiga suaminya, Richard Alich ialah pesara polis, John Peter Oluka bekerja sebagai petani dan Michael Enyaku tinggal dalam pondok kecil di rumahnya.

Akhbar Sunday Vision melaporkan tiga lelaki berkenaan hidup aman dan menganggap Ann sebagai ketua keluarga selain menuruti setiap arahannya.

Oluka berkata, dia berkenalan dengan Ann ketika mengembala lembu di kawasan paya dan bergurau ingin menjadi suami wanita itu.

“Tak sangka gurauan menjadi kenyataan. Dia memberi saya sebuah pondok. Sudah setahun kami kahwin dan saya tiada masalah dengan dua suaminya yang lain,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu kini hamil enam bulan, namun tidak pasti siapa di antara tiga suaminya bapa kepada bayi berkenaan.

Bapanya, Peter Ogwang berkata, suami anaknya itu sebenarnya lebih ramai dan dia serta penduduk menghalau seorang suami Ann kerana menyerang wanita itu, tahun lalu.

Menurutnya, dia dan penduduk di Amugagara mahu menghalau semua suami Ann namun wanita itu menegaskan dia sudah dewasa dan berhak untuk tinggal dengan tiga suaminya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:31 AM