PELAMPAU Hindu memusnahkan Masjid Babri pada 1992. - Fail (Agensi)
Agensi

NEW DELHI: “Keputusan Mahkamah Agung itu tidak memuaskan, namun kami akan menghormatinya. Kami akan mengadakan perbincangan sebelum memutuskan tindakan lanjut,” kata peguam Lembaga Zakat Sunni, Zafaryab Jilani, mengenai keputusan membabitkan tapak Masjid Babri di Ayodhya, Uttar Pradesh, semalam.

Panel lima hakim Mahkamah Agung India diketuai Ketua Hakim Ranjan Gogoi, sebulat suara membuat keputusan muktamad menyerahkan tapak masjid berusia hampir 500 tahun itu kepada penganut Hindu untuk didirikan kuil dewa Ram dan tanah lain seluas dua hektar diberi sebagai ganti kepada penganut Islam.

“Bagi kami, keputusan ini bukan keadilan,” kata Zafaryab yang tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memfailkan petisyen terhadap keputusan itu.

Penganut Hindu, termasuk penyokong parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi mendakwa Dewa Ram dilahirkan di tapak masjid berkenaan dan Maharaja Mughal pertama Babrur, membina Masjid Babri di atas kuil hindu.

Penganut Islam menegaskan mereka sudah beribadat di masjid itu selama ratusan tahun sehingga ia menjadi pertikaian apabila patung dewa Hindu diletakkan dalam masjid berkenaan pada 1949.

Reuters melaporkan, menurut dokumen Mahkamah Agung semalam, ada struktur di bawah Masjid Babri menunjukkan masjid itu tidak dibina di atas tanah kosong.

Tindakan ribuan pelampau Hindu diketuai ahli politik BJP pada 1992 menyerbu dan merobohkan masjid itu pada 1992 menyebabkan keganasan, mengakibatkan lebih 2,000 terbunuh, sebahagian besarnya penganut Islam.

Profesor di Universiti Ashoka, Neelanjan Sircar berkata, keputusan mahkamah itu memberi kelebihan kepada BJP yang memenangi pilihan raya Mei lalu.

“Ia meningkatkan populariti BJP,” katanya.

Keputusan mahkamah itu dibuat beberapa bulan selepas kerajaan Modi melucutkan status autonomi Jammu dan Kashmir, melaksanakan antara janji partinya yang dikuasai Hindu.

“Saya mengalu-alukan keputusan mahkamah dan meminta semua kumpulan agama menerima keputusan itu,” kata Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, yang juga Presiden BJP melalui Twitter.

Beberapa pertubuhan Hindu, termasuk Rashtriya Swayamsevak Sangh iaitu pertubuhan memayungi parti BJP melarang sebarang sambutan meraikan keputusan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini antara Hindu dan Islam yang merupakan 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India.

Pihak berkuasa yang menempatkan ribuan tentera dan polis di Ayodhya sejak minggu lalu, melarang sebarang perhimpunan dan perkhidmatan Internet disekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:45 AM